Thursday, June 17, 2010

Sambungan: Pengembaraan Seekor Nyamuk

Nyamuk Pertama Kali Melihat Dunia!
Kokun akan mula pecah pada bahagian kepala. Bagaimanapun, nyamuk ini akan berhadapan dengan bahaya. Bagaimana jika kokun ini dipenuhi air? Dalam keadaan ini nyamuk tersebut akan tenggelam. Tetapi jangan bimbang, bahagian kepala kokun ini mempunyai bahan melekit khas yang menghalang kepala nyamuk ini daripada terkena air. Apabila kepala kokun telah pecah, ia merupakan saat paling penting, kerana nyamuk ini perlu berdiri di atas air dengan hujung kakinya, dan sayapnya tidak boleh basah. Angin yang perlahan sahaja sudah cukup untuk menyebabkan ia jatuh ke dalam air dan mati. Nyamuk ini melakukannya dengan kemahiran hebat, kerana Allah menjadikannya dengan kepakaran ini.
[Credit to: http://fmel.ifas.ufl.edu/]

Bagaimanakah Nyamuk Dapat Melihat Pada Waktu Malam Dan Menyengat?
Pernahkah kamu terfikir? Di dalam malam yang gelap dan kamu sedang terbaring di atas katil. Kamu dibaluti selimut. Hanya sebahagian kecil tangan kamu terdedah. Kemudian nyamuk datang di dalam kegelapan malam, ia melihat dan menggigit bahagian kamu yang terdedah itu. Ketika kamu tidak dapat melihat apa-apa di dalam gelap, bagaimana nyamuk dapat melihat?

Nyamuk dapat melihat hidupan di sekeliling mereka dengan haba dikeluarkan, yang merupakan cahaya tidak kelihatan pada kita. Memandangkan ia tidak kelihatan di dalam cahaya, mereka dapat mencari urat-urat kita walaupun di dalam kegelapan malam.
[Credit to: http://chrisobrien.org/]
 Ini adalah kebolehan yang unik. Dengan merujuk pada skil nyamuk ini, para pakar sains telah mencipta sebuah kamera yang dapat menangkap imej dalam bentuk haba. Walaupun di dalam gelap, kamera ini membentuk imej sekeliling seperti hari siang. Dapatkah kamu bayangkan? Manusia meniru nyamuk yang kecil! Mungkinkah seekor nyamuk tahu lebih daripada seorang manusia, dapatkah ia mengetahui lebih daripada seorang pakar sains? Sudah tentu tidak! Allah telah menganugerahkan nyamuk kebolehan luar biasa ini. Manusia mengedari kelebihan ini dan cuba menirunya. Mereka mencipta kapal terbang dengan meniru burung. Manusia telah meniru banyak benda yang mereka saksikan di alam semula jadi. Sekarang mari kita teruskan pengembaraan nyamuk ini.

Nyamuk Ketika Bekerja!
Teknik yang digunakan nyamuk untuk menghisap darah adalah sangat teliti sehinggakan mengejutkan manusia.
Pertama, nyamuk hinggap di atas sasarannya. Contohnya, tangan kamu... Kemudian, dengan menggunakan pembuluh berbentuk jarum, ia memilih satu tempat yang sesuai. Jarum nyamuk ini kelihatan seperti picagari dan ia dilindungi dengan sarung khas. Ketika proses penyedutan darah, jarum ini dikeluarkan daripada sarung ini. Ramai menyangka nyamuk mencucuk kulit dengan memasukkannya jarumnya, sebaliknya nyamuk menggunakan cara yang berbeza untuk melakukannya. Ia menggerakkan gergajinya ke depan dan ke belakang, seperti sebuah gergaji, dan dengan bantuan gergaji bawah, ia memotong kulit. Ia memasukkan jarumnya ke dalam bukaan ini dan apabila jarum ini telah sampai ke urat darah, ia mula menyedut darah.
[Credit to: http://verdenvenn.co.cc/]

Nyamuk Adalah Doktor!
Kamu mungkin bertanya, “Bolehkah nyamuk menjadi doktor?” Selepas membaca kisah ini kamu akan berkata, “Mereka memang doktor!”.
 
Apabila kamu terluka, darah kamu akan berhenti mengalir dengan sendirinya. Ini kerana darah dapat membeku dan berhenti mengalir. Allah telah menjadikan darah dengan kualiti seperti ini untuk melindungi manusia. Jika darah tidak dapat membeku dengan sendirinya, luka kecil di jari kamu atau luka kerana terjatuh ketika berlari boleh menyebabkan kematian, kerana kamu tidak dapat menghalang pendarahannya.
Ia amat penting kepada kita. Tetapi, nyamuk mungkin tidak gemarkannya. Mengapa? Kerana, apabila nyamuk mula menyedut darah, ia akan menjadi beku dan tidak akan dapat disedut. Jika ini berlaku, nyamuk tidak akan wujud, kerana tidak ada seekor nyamuk yang dapat memberikan protein kepada telur-telurnya. Sekali lagi Allah telah menjadikan satu kemahiran unik untuk proses ini. Bagaimana? Sebelum nyamuk mula menghisap darah, ia mengeluarkan satu cecair khas, yang Allah kurniakan kepadanya, ke dalam saluran darah sesiapa yang dihinggapinya. Dengan cara ini, darah di kawasan ini tidak akan membeku dan nyamuk dapat menyedutnya.
 
[Credit to: http://www.istockphoto.com/]
Cecair ini juga mempunyai kualiti lain. Apabila nyamuk menjalankan kerjanya, kamu tidak akan merasa apa-apa, kerana bahan ini mengebaskan kawasan yang digigit nyamuk. Cecair ini seperti anestesia yang digunakan oleh doktor gigi atau pakar bedah. Doktor memberikan sejenis dadah supaya kamu tidak merasa sakit, dan memang kamu tidak merasanya. Jadi, nyamuk juga bekerja seperti seorang doktor. Mulanya ia membius dan kemudian menghisap. Selepas nyamuk menggigit kamu, kamu akan merasa sedikit gatal dan bengkak. Punca rasa gatal dan bengkak ini adalah cecair ini.
 
Kamu mungkin beranggapan perkara ini memakan masa yang panjang. Tetapi nyamuk ini melakukan semuanya di dalam masa yang singkat. Kamu hanya merasa kesan gigitannya setelah ia menyelesaikan kerjanya dan mengemas kembali peralatannya. Sekarang, mari kita fikirkan bersama. Nyamuk hanya bersaiz hujung pensil, tetapi kerja yang dilakukan amat penting dan sempurna. Apakah nyamuk-nyamuk ini dapat memikirkan semua ini? Untuk menghalang pembekuan darah manusia, membius kawasan gigitannya supaya ia tidak menyakitkan, menghasilkan mata yang dapat melihat pada waktu malam, menyusun telurnya dalam bentuk rakit supaya ia tidak tenggelam. Ia tidak dapat menciptanya kan?
 
Allah telah menjadikan hidupan dengan sifat-sifat yang bersesuaian untuknya supaya ia dapat mencari makan sendiri, melindungi diri dan menyelamatkan diri. Ini membuktikan betapa Allah amat mengambil berat, Maha Penyayang dan melindungi. Sebagai contoh, sekiranya seekor nyamuk dapat meneruskan hidupnya, itu adalah kerana Allah telah melindunginya. Allah tidak pernah meninggalkan sesuatu pun, dan tidak pernah lupa. Kerana itulah semua yang diperlukan oleh seekor nyamuk adalah sempurna. Tiada satu pun yang kurang.

Abih dah citer pasai nyamuk. Daaaaa....

Copyright © 2009-2010 Kazaztan Team